Sabtu, September 06, 2008

Lelaki Bernama Ayah

Kenapa ayah,
Jarang kau berbicara tentang hatimu
Susah benar mendengar suara tangismu
Amat payah melihat ukir tawamu
Mungkin betul madah melayu
Mulut lelaki di hati
Apa saja dilalui
Apa saja didepani
Tak pernah kau mengelak
Takkan sekali kau berundur
Tangis kami kau redakan
Gelisah hati kami kau leraikan
lara kami bahagia gantianmu

Sungguh ayah,
Tiada ketakutan tika kau di sisi
Takkan kami kau biar bersusah
Hingga kekadang kami sendiri terlupa
Bahawa kau jua manusia biasa
Pastinya punya hasrat dan harapan
Yang ingin anak-anakmu ini penuhi

Katakanlah ayah
Bahawa kau ingin dilindungi dan disayangi
Ingin dipeluk dan diberi manja
Malah makin menganjak usiamu
Makin lembut hati kecilmu
Maafkan kami ayah,
Kami alpa
Kami kalut mengejar cita-cita

Tika kau rindukan hangat mesra sentuhan kami
Kami diasak kerja yang tiada sudah
Tika kau mengadu sakit peningmu,
Kami berlapang dada
Kerana pada akal kami
Kau bijak bertindak sendiri
Sedangkan kami abaikan kata hati
Bukan ubat penawar sakitmu
Tapi suara kami pengubat rindumu
Bukan istana mewah buat takhta seorang diri
Tapi pondok kecil berisi gelak tawa kami
Maafkan kami ayah,
Kami terlupa lagi



Dalam diammu,
Aku tau hatimu seringkali berombak
Acapkali dilambung gelombang
Namun tak terlihat air jernih menitis di pipi tuamu
Hanya wajah mendungmu pantulan luahan nurani
Engkau tidak pandai berbicara manis
Apatah lagi bermadah pujangga
Namun setiap janjimu tak pernah kau mungkiri
Engkau tak pandai menyatakan
Namun dari setiap gerak gayamu
Aku teramat mengerti
Segalanya memancar kasih dan sayang

Kenapa ayah?
Kenapa tak pernah kau luahkan kegusaran jiwamu
Tak pernah terdengar sedu pilumu
Mengapa ayah?
Sakit dan lelahmu tak pernah kau jaja pada anak-anakmu ini
Agar permata hatimu ini mengerti?
Mengapa ayah?
Langkahmu yang makin tak berdaya itu kau sembunyikan
Lalu kau gagahkan jua walaupun dalam kepayahan

Maafkan kami ayah
Kami masih tak mengerti ketika itu
Kerna sirna dengan kemelut arus
Kini, izinkanlah anakmu ini menyuluh tiap jawaban
Membuka rahsia yang terpendam di ruang rasamu
Kenyataan yang melambangkan betapa kasihnya engkau pada kami
Cinta tulusmu yang hanya bisa dihitung Illahi
Tak terbalas walau sepanjang hayat dirimu kujaga dan kumanja
Segalanya kau lakukan
Segalanya kau sembunyikan
Segalanya kau teruskan
Hanya kerana kau bernama lelaki
Lelaki yang kasar tangannya demi memenuhi keinginan seorang anak
Lelaki yang terkunci bibirnya bila melihat senyum bahagia seorang isteri
Lelaki yang tergalas dibahunya berat imbalan balasan dunia akhirat.



Hanya kerana itu kau tiada masa melayan hatimu
Walaupun kekadang rasa resah membadai di jiwamu
Hanya kerana itu kau abaikan rajuk hatimu
Walau kekadang kau ingin benar dipujuk
Segalanya hanya kerana kau bernama LELAKI?
LELAKI yang kami gelar AYAH?.
Maafkan kami ayah?

17 September 2006
UNIMAS
AD
0008

Tiada ulasan: